LANGKAWI: Panglima Tentera Udara (PTU), Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan melakar sejarah apabila menjadi PTU pertama menerbangkan sendiri pesawat Sukhoi Su-30MKM pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Beliau dua kali menerbangkan pesawat yang digelar Toruk Makto dengan penampilan rekaan corak cat (livery) Jalur Gemilang semasa persembahan aerobatik hari pertama dan hari ketiga LIMA’25.
Mohd. Asghar Khan berkata, beliau enggan melepaskan peluang menerbangkan Sukhoi kerana bakal bersara pada Jun ini.
“Saya melihat ada banyak rakan sejawatan yang masih terbang, jadi saya mengambil keputusan untuk menerbangkan pesawat tersebut kali ini.
“Saya juga akan bersara pada Jun nanti, jadi saya nak guna masa itu dengan sebaiknya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan aksi aerobatik sempena LIMA’25 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini hari ini.
Katanya, beliau juga pernah berjanji dengan pasukan Russian Knights untuk turut terbang sekiranya mereka turut serta dalam LIMA’25.
Sementara itu, menurutnya, sambutan LIMA’25 kali ini sangat baik dengan jumlah pempamer yang banyak namun terdapat kekurangan daripada segi jumlah pasukan aerobatik susulan perkara yang berlaku di rantau ini.
“Salah satu sebab saya turut terbang adalah disebabkan kita kekurangan pasukan aerobatik,” ujarnya secara berseloroh.
Beliau telah berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama 42 tahun. – UTUSAN