Pamela Ling masih gagal dijejaki, keberadaan belum dipastikan

Pamela Ling masih gagal dijejaki, keberadaan belum dipastikan

RUSDI Mohd. Isa bersama pemberita selepas Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat 'PPR Bestari' Tahun 2025 di Dewan Serbaguna Taman Perumahan Desa Rejang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keberadaan isteri ahli perniagaan, Datin Seri Pamela Ling yang dipercayai dilarikan beberapa individu sejak 9 April lalu masih belum dapat dipastikan sama ada wanita terbabit masih berada dalam negara atau sebaliknya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, semakan berdasarkan rekod semasa menunjukkan tiada sebarang pergerakan keluar negara dikesan membabitkan wanita itu.

“Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa terdapat kemungkinan pergerakan berlaku tanpa melalui laluan sah.

“Oleh itu, tidak dapat dipastikan sama ada beliau masih berada dalam negara atau telah dibawa keluar.

“Jika ditanya sama ada dia telah keluar atau dilarikan ke luar negara, saya tidak boleh sahkan kerana semakan menunjukkan tiada pergerakan keluar secara rasmi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat PPR Bestari di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di sini hari ini.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut walaupun sehingga kini wanita terbabit masih gagal dikesan.

“Siasatan masih diteruskan namun setakat ni, pihak kami masih lagi gagal menjejaki mangsa,” katanya.

Pada 5 Mei lalu, media melaporkan bahawa polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk dakwaan Pamela dilarikan oleh individu yang menyamar sebagai pegawai polis ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, siasatan turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran jelas insiden tersebut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN