Pamela Ling dibenar cabar waran tangkap, sekatan perjalanan

Pamela Ling dibenar cabar waran tangkap, sekatan perjalanan

PAMELA LING YUEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberikan kebenaran kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh untuk mencabar waran tangkap dan larangan perjalanan yang dikenakan terhadapnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Hakim Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas mendapati terdapat isu yang perlu didengar dan diputuskan oleh mahkamah. Beliau kemudian menetapkan 3 Jun ini untuk pengurusan kes.

Pada prosiding hari ini, Pamela diwakili peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar selaku pemohon manakala responden, SPRM dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia diwakili Peguam Kanan Persekutuan Mohd. Faisal Md. Nor.

Terdahulu, Mohd. Faisal berkata Jabatan Peguam Negara tidak membantah permohonan kebenaran kecuali relif membabitkan waran tangkap atas alasan cabaran itu sepatutnya dikemukakan di Mahkamah Tinggi Jenayah dan bukannya melalui semakan kehakiman.

Tambahnya, ia adalah kerana berdasarkan keputusan kes terdahulu, mendapati bahawa permohonan semakan kehakiman hanya untuk mencabar tindakan cabang Eksekutif dan Legislatif sahaja.

Hakim Amarjeet kemudian bertanya kepada Mohd. Faisal alasan waran tangkap dimohon oleh SPRM dan beliau menjawab bahawa wanita itu gagal hadir ke ibu pejabat SPRM apabila diminta berbuat demikian.

Menurut sesalinan notis yang diperolehi media, Ling Yueh memohon agar waran tangkap bertarikh 2 Disember 2024 yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru terhadapnya dibatalkan.

Wanita yang telah dilaporkan hilang sejak 9 April lalu; dua hari selepas permohonan semakan kehakiman difailkan, turut memohon satu deklarasi bahawa SPRM tidak mempunyai kuasa untuk seseorang meninggalkan Malaysia.

SPRM hanya boleh berbuat demikian mengikut cara yang diperuntukkan dalam Seksyen 44 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 44(4) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pamela mendakwa beliau telah dikenakan sekatan perjalanan sejak Oktober 2024 dan hanya mengetahui mengenainya pada 21 Mac lalu.

Pada 9 April lalu, Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan. Laporan polis berhubung kehilangannya diterima pada jam 3.02 petang hari yang sama.

Sehingga kini, polis telah merakam keterangan seramai 42 saksi bagi membantu siasatan dan masih belum berhasil mengesan sebarang rekod pergerakan Pamela ke luar negara. Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan beliau keluar negara menggunakan laluan tidak sah.

Suami Pamela, Datuk Seri Hah Tiing Siu yang ditahan pada 15 Mei lalu telah dilepas dengan jaminan polis, keesokan harinya selepas permohonan reman ditolak oleh mahkamah.

Pasangan itu telah mula disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram sejak 28 Mei 2024.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN