PETALING JAYA: Peguam yang mewakili keluarga Datin Seri Pamela Ling Yueh mendakwa, wanita itu berdepan tekanan termasuk dikenakan sekatan perjalanan sejak Oktober tahun lalu susulan siasatan berkaitan kes pengubahan wang haram.
Sangeet Kaur Deo berkata, anak guamnya mendakwa menerima tekanan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu peribadi dengan suami meskipun dia memberikan kerjasama dengan agensi berkenaan.
Katanya, selain diarah melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan, Pamela telah lapan kali hadir ke pejabat agensi itu.
“Lebih mengejutkan, kehilangan Pamela berlaku pada hari kesembilan dia dijadualkan hadir membantu siasatan.
“SPRM menggunakan kuasanya untuk menekan Pamela bagi menyelesaikan isu peribadi dengan suaminya dan bukan membantu siasatan untuk tujuan yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Sangeet berkata, pada 7 April lalu, Pamela memfailkan permohonan semakan kehakiman Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan SPRM menjalankan siasatan tanpa mengikut undang-undang sebelum dilaporkan hilang.
Tambah Sangeet, anak guamnya disiasat berkaitan kes di bawah Akta SPRM dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) walaupun tidak pernah didakwa atas sebarang kesalahan.
Bagaimanapun katanya, corak layanan SPRM terhadap Pamela tidak selari dengan layanan yang sewajarnya diberikan kepada seorang saksi yang membantu siasatan.
Menurutnya, kali terakhir wanita itu dilihat ialah berhampiran pejabat SPRM di Putrajaya pada 9 April lalu sehingga timbul dakwaan ada pihak menyamar sebagai pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahannya pada hari kejadian.
“PDRM belum memberikan penjelasan sama ada terdapat arahan rasmi untuk menahan Pamela.
“Jika tiada arahan dikeluarkan, maka jelas penahanan itu dilakukan oleh pihak yang menyamar sebagai penguat kuasa,” katanya.
Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM pada 9 April lalu manakala polis menerima laporan berhubung kehilangannya pada 3.02 petang hari sama.
Menurut laporan, adik mangsa, Simon Ling Wan Siong memaklumkan, Pamela telah menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada peguamnya pada pukul 1.57 tengah hari dengan mengatakan dirinya dalam perjalanan ke SPRM di Putrajaya dengan menaiki kereta perkhidmatan e-hailing.
Keluarga dan peguamnya cuba menghubungi mangsa selepas pukul 2 petang namun panggilan telefon dan pesanan WhatsApp tidak berbalas. – UTUSAN