‘Pak belang’ baham empat ekor anak lembu di Gerik

‘Pak belang’ baham empat ekor anak lembu di Gerik

MOHAMAD Khairul Abd. Rashid (kiri) melihat anggota Perhilitan mengukur kesan gigitan harimau belang pada anak lembu miliknya yang telah mati di Kampung Star Kechil, Gerik, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Penduduk Kampung Star Kechil di sini dikejutkan dengan kejadian empat ekor anak lembu ditemukan mati dipercayai diserang harimau.

Pemilik haiwan ternakan itu, Mohamad Khairul Abd. Rashid, 45, berkata, kesemua ternakannya yang terkorban dipercayai dibaham harimau belang pada Jumaat lalu.

Katanya, apabila ke kandang sekitar pukul tiga petang pada Sabtu, dia mendapati kesemuanya mati dalam keadaan bergelimpangan.

“Serangan ini mungkin berlaku sekitar pukul tujuh hingga lapan malam Jumaat lalu kerana pada waktu-waktu begitu, harimau dan binatang liar suka berkeliaran di kawasan pinggir hutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Mohamad Khairul, pada pagi hari kejadian, dia ada pergi ke kandang yang menempatkan 70 ekor lembu dan kesemuanya berada dalam keadaan selamat serta berpagar.

“Daripada kesan gigitan pada kepala lembu, keluasan bukaan mulutnya adalah sekitar lima inci dan kesan tapak kakinya juga besar.

“Kejadian ini adalah kali ke tiga berlaku sejak lapan tahun lalu, kejadian pertama seekor lembu diserang harimau belang kemudian beberapa tahun berikutnya seekor lagi lembu diserang harimau kumbang dan kini empat ekor pula terkorban,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, seekor gajah jantan seberat hampir tiga tan berusia antara 40 hingga 50 tahun yang terpisah daripada kumpulannya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di pinggir Kampung Padang Langgar, Selasa lalu.

Penghulu Mukim Kerunai, Sharil Ariff Tun Ahmad berkata, penduduk melaporkan kehadiran mamalia itu sejak beberapa bulan lalu, namun ia tidak menjejaskan keselamatan penduduk sekitar.

“Gajah ini mempunyai tanda pengenalannya iaitu ‘Belum’ yang bermaksud habitat asalnya di Hutan Simpan Belum dan mungkin terpisah daripada kawanannya menyebabkan ia berkeliaran bersendirian sehingga menghampiri kawasan penduduk kampung,” katanya.

Katanya, Belum masih berada di kampung itu sementara menunggu masa untuk dilepaskan ke habitat asalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN