Orang lain jual tanah, emas, aku jual koleksi motor untuk tanggung kos perubatan ibu - Achey - Utusan Malaysia

Orang lain jual tanah, emas, aku jual koleksi motor untuk tanggung kos perubatan ibu – Achey

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelawak, Achey mengakui tidak ralat menjual semua koleksi motosikal demi menanggung kos perubatan arwah ibunya, Ngaisah Hassan yang menghidap kanser pankreas.

Menurut Achey, dia pernah dicerca oleh sesetengah pihak kerana memiliki sebanyak 48 biji motosikal yang dikatakan tidak membawa sebarang hasil mahupun keuntungan.

“Sebelum ini kecoh orang tegur saya supaya beringat kerana mempunyai 48 buah motosikal. Tapi saya ada visi sendiri. Di sini saya mahu beritahu secara eksklusif.

“Bukan mahu mengungkit, tetapi lebih kepada persediaan (kesedaran) buat anak-anak di luar sana. Ada orang mereka jual tanah, jual emas sewaktu susah tetapi bukan jual hari ini, esok dapat duit.

“Untuk saya, dengan 48 buah motosikal itulah saya jual satu persatu untuk menanggung kos perubatan arwah ibu saya yang mengalami kanser pankreas,” katanya menerusi sebuah sesi audio siar Sembang Seram yang dikendalikan oleh Safwan Nazri.

Tambah Achey, sebagai seorang anak dia hanya mahu berikan yang terbaik buat arwah ibu demi membalas jasanya yang sudah bertungkus-lumus membesarkan anak-anak.

“Memang ada yang kata rugi, tetapi hasil jualan motor-motor itulah yang saya gunakan untuk merawat ibu saya. Sebagai anak, saya mahu dia mendapatkan rawatan yang terbaik.

“Kos perubatan sahaja sudah mencecah puluhan ribu ringgit. Untuk dapatkan perubatan yang terbaik, berapa simpanan yang kita ada untuk seorang ibu yang melahirkan 10 orang anak? Takkan tiada seorang pun yang ada simpanan untuk kos perubatannya?

“Kita perlukan benda yang boleh ‘dicairkan’ dengan cepat. 48 buah motor itulah yang saya ada. Pada saya, setitis susu yang dia berikan kepada saya tidak terbayar dengan nilai yang saya berikan kepada dia,” jelasnya.

Dalam masa sama, pelawak itu juga turut meluahkan rasa syukur kerana memiliki seorang isteri yang memahami dirinya seperti Nor Hasanah Yahaya.

Kata Achey, Hasanah merupakan seorang isteri yang luar biasa kerana dia sanggup menggadaikan barangan kemas yang dimilikinya demi membantu kos perubatan ibunya bersama.

“Isteri saya juga seorang yang luar biasa. Dia tahu berapa simpanan saya dalam akaun bank. Tidak banyak, tapi dia tahu dan banyak membantu saya.

“Dia jual barang kemas dia. Selepas saya selesai uruskan segalanya dan dapat pulangannya saya ganti semula apa yang dia pernah gadaikan.

“Perjuangan itu bukan untuk dia, tapi untuk ibu saya yang juga ibu mertuanya. Benda itu jugalah saya lakukan kepada bapa mertua saya sebab kami saling tidak berkira,” jelasnya.

Sekadar info, ibu kepada Achey iaitu arwah Ngaisah mengembuskan nafas terakhir akibat kanser pankreas di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 25 April 2022.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN