PUTRAJAYA: Orang awam disaran menggunakan pengangkutan awam ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, ia berikutan beberapa laluan pada waktu tertentu akan dikhususkan untuk kegunaan perjalanan ketua-ketua negara atau ketua-ketua kerajaan.
“Syarikat-syarikat swasta juga digalakkan untuk meneliti terutama lokasi-lokasi di Kuala Lumpur, agar syarikat-syarikat swasta memberi ruang kepada pekerja-pekerja mereka untuk bekerja dari rumah.
“Jemaah Menteri juga telah dimaklumkan bahawa sewaktu lawatan negara Presiden Xi Jinping tempoh hari, jumlah pengguna perkhidmatan pengangkutan awam telah meningkat 50 peratus.
“Oleh itu, orang ramai juga sepanjang sidang kemuncak yang saya maksudkan tadi digalakkan untuk mengambil pengangkutan awam,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Berhubung senarai sekolah yang dijangka terlibat dengan pengajaran serta pembelajaran di rumah (PdPR), Fahmi berkata, perkara itu akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat.
Bagi penjawat awam pula, Fahmi mengulangi kenyataan yang telah dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini mengenai kebenaran Bekerja Dari Rumah (BDR) kepada penjawat awam sepanjang berlangsung persidangan itu.
Sidang kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 Mei akan melibatkan semua 10 pemimpin negara anggota ASEAN manakala mesyuarat pada 27 Mei akan melibatkan ketua-ketua negara ASEAN dengan ketua negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC). – UTUSAN