KUALA KANGSAR: Objek menyerupai sebutir bom mortar ditemukan orang awam di tepi semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Kandang Hilir, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, penemuan objek itu dilaporkan kepada polis pada pukul 7.02 petang.
“Sepasukan anggota telah ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan dan dengan dipandu arah oleh pengadu, kawasan bom itu dijumpa pada jarak 30 meter dari rumahnya.
“Lokasi bom ditutup bagi tujuan keselamatan. Cawangan Persenjataan IPD Kuala Kangsar dan Unit Pemusnah Bom Kontinjen Perak turut hadir di lokasi untuk pemeriksaan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati objek tersebut ialah bom mortar 60MM (innert) namun tidak mengandungi bahan letupan dan selamat untuk dipindahkan.
“Objek tersebut kemudiannya dibawa ke Pengkalan Unit Pemusnah Bom untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN