Norjuma didenda RM1,000 cederakan wanita - Utusan Malaysia

Norjuma didenda RM1,000 cederakan wanita

Norjuma
NORJUMA HABIB MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas personaliti televisyen dan usahawan, Norjuma Habib Mohamed didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang wanita, empat tahun lalu.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Norjuma, 45, mengubah pengakuan tidak bersalahnya sebelum ini kepada bersalah pada prosiding hari ini. 

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara satu bulan penjara jika gagal bayar denda. 

Mengikut pertuduhan, Norjuma didakwa menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 32, di Kondominium Sastra U-Thant, Wangsa Maju di sini pada pukul 10.30 pagi, 18 Oktober 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda mencecah RM2,000 atau kedua-duanya. 

Dalam prosiding hari ini, peguam bela, Faiz Kamal Jaafar yang mewakili Norjuma memohon hanya hukuman denda diberikan. 

“Anak guam saya kini tidak bekerja dan sedang menyambung pelajaran di sebuah universiti tempatan. Kini, dia ditanggung oleh bapanya yang hanya seorang pesara kerajaan,” kata peguam itu. 

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Iman Nurhidayah Ezani memohon agar mahkamah memberikan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran. 

Pada 25 April tahun lalu, Norjuma didakwa atas lima pertuduhan membabit empat pertuduhan mendatangkan kecederaan dan melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar masuk dan kamera litar tertutup (CCTV) milik sebuah kondominium di Taman U-Thant, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN