PETALING JAYA: Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, sekali gus menjadikan beliau anggota Kabinet kedua yang berundur hari ini.
Ia selepas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli yang mengumumkan pengunduran sebagai Menteri Ekonomi.
Nik Nazmi berkata, beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada 4 Julai dan beliau akan mula bercuti esok hingga 3 Julai ini.
Beliau berkata, kedudukannya sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikannya ke Jemaah Menteri.
Menurutnya, kegagalannya mempertahankan jawatan itu menjadi asbab beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai menteri.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penjawat awam yang berwibawa, pasukan di pejabat saya yang cemerlang, serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang telah banyak mengajar saya dan memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini.
“Kami sentiasa berusaha untuk mengambil pendekatan yang terbuka dan berunding dengan semua pihak dalam merangka dasar dan memperkenalkan undang-undang.
“Saya kini menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan saya di Setiawangsa,” katanya.
Tambah Nik Nazmi, beliau sudah menunaikan tanggungjawabnya sebaik mungkin ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
“Kejayaan dua kementerian ini termasuklah pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) Fasa 1 serta peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
“Malaysia juga menjadi antara negara terawal yang mengemukakan National Biodiversity Strategies and Action Plan (NBSAP) bagi membendung kemusnahan alam semula jadi.
“Pengurangan kadar penyahhutanan yang ketara juga telah mendapat pengiktirafan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres,” katanya.
Katanya, selepas beberapa minggu dilantik, kementeriannya berjaya melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) di Semenanjung.
“Kami juga berjaya meluluskan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga di Dewan Rakyat. Dalam sektor air, kami telah memperkenalkan Tariff Setting Mechanism yang amat diperlukan.
“Pasukan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah memulakan Rang Undang-undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) daripada peringkat paling asas dan kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan ke Jemaah Menteri dan Parlimen,” jelasnya. – UTUSAN