KUALA LUMPUR: Hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) susulan pengenalan tarif timbal balas oleh Presiden AS, Donald Trump kekal kukuh serta saling melengkapi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Pusat Tindakan Geokonomi Negara (NGCC) menjadi platform utama dalam menyelaras pelan tindakan kerajaan berhubung tarif itu.
“Kita juga ada berbincang mengenai NGCC yang mana ini adalah platform utama dalam menyelaras pelan tindakan kerajaan dan kita mengambil empat pendekatan utama.
“Pertama, diplomasi ekonomi proaktif. Keduanya, melindungi dasar strategik tempatan. Ketiga, diversifikasi pasaran dan akses dagangan baru. Keempat, menarik pelaburan strategik dan juga pemerkasaan industri tempatan.
“Justeru, menerusi pendekatan ini, kita perlu tegas dalam menegakkan undang-undang,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat berhubung tarif AS, hari ini.
Terdahulu, MITI menjadi satu-satunya pihak yang diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) bagi tujuan eksport ke AS berkuat kuasa 6 Mei ini bagi menangani isu kemungkinan penyalahgunaan laluan dagangan Malaysia sebagai pintu masuk dan keluar barangan dari negara tertentu ke pasaran AS.
Tambah Zafrul, AS berperanan menjadi negara penting kepada Malaysia selain menjadi hubungan dua hala dalam sektor perdagangan antara dua negara.
“Sebagai rakan dagang kedua terbesar dan juga rakan dagang di mana industri eksport kita ke AS adalah industri eksport yang nombor satu serta pelabur asing terbesar dalam perbuatan dan perkhidmatan sejak 1980. Jadi kita hargai hubungan ekonomi dengan AS.
“Walau bagaimanapun sebagai sebuah negara dagang terbuka, kita juga hargai hubungan ekonomi dengan rakan dagang yang lain. Jadi kalau boleh, kita perlu pastikan strategi yang mesra kepada semua rakan dagang utama kita, termasuk China, Kesatuan Eropah (EU), Kerjasama Teluk ASEAN (GCC) dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN