Negeri Sembilan pertimbang haram penjualan vape

Negeri Sembilan pertimbang haram penjualan vape

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Cadangan pengharaman penjualan produk rokok elektronik atau vape akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan untuk dipertimbangkan.

Turut akan dibawa ke peringkat perbincangan adalah mengenai penyelarasan dasar serta penguatkuasaan yang berkesan berkenaan penjualan produk tersebut di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri juga akan mengambil kira syor daripada Kementerian Kesihatan serta perlu merujuk pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri dalam menentukan langkah terbaik menangani isu berkenaan.

Menurutnya, pengharaman (penjualan) vape merupakan satu cadangan yang baik, dan ia akan dilaksanakan jika memberikan kesan serius kepada kesihatan. 

“Cuma saya minta penguatkuasaan penjualan vape perisa cendawan (mushroom) itu paling penting untuk diselesaikan dulu.

“Selain itu, kita juga minta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak diberi lagi lesen penjualan vape, termasuk permohonan baharu. Setakat ini saya rasa tiada lesen sedemikian dikeluarkan.

“Apa pun kita akan semak dan teliti terlebih dahulu, biar apa juga keputusan dan tindakan selanjutnya supaya ia lebih teratur,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Aminuddin dalam pada itu menyuarakan kebimbangan sekiranya langkah pengharaman diambil tanpa pengawasan rapi, ia membuka ruang kepada aktiviti penjualan secara haram termasuk secara sembunyi dan menggunakan khidmat syarikat penghantaran.

“Itu yang kita bimbang, apabila diharamkan tetapi ada pula yang jual secara tersembunyi, hantar melalui syarikat penghantaran. Itu antara yang kita kena lihat supaya tindakan diambil benar-benar berkesan,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN