TELUK INTAN: Keracunan makanan melibatkan 43 pelajar Sekolah Menengah San Min di sini disyaki berpunca daripada nasi goreng tomyam yang disediakan kantin sekolah itu pada 21 April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, kes mula dikesan pada 22 April apabila dua pelajar mengalami gejala keracunan makanan disusuli notifikasi rasmi ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hilir Perak dua hari kemudian.
Katanya, pengesanan kes secara aktif mendapati terdapat pertambahan 41 pelajar yang mengalami gejala sama iaitu sakit perut, cirit-birit, muntah dan demam.
“Terdapat pertambahan sebanyak 41 pelajar yang mempunyai gejala keracunan makanan menjadikan jumlah kes sebanyak 43 daripada 563 pelajar yang terdedah dengan kadar serangan iaitu 7.6 peratus.
“Gejala yang dilaporkan adalah sakit perut sebanyak 76.7 peratus diikuti cirit-birit (62.8 peratus), muntah (51.2 peratus) dan demam (16.3 peratus). Kesemua kes diberikan rawatan pesakit luar dan tiada yang dimasukkan ke wad,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah itu di sini hari ini.
Menurut Sivanesan, kesemua pelajar yang bergejala adalah mereka yang tinggal di asrama berusia antara 13 hingga 18 tahun membabitkan pelajar tingkatan satu hingga enam.
Beliau berkata, PKD Hilir Perak telah mengambil dua sampel klinikal untuk dianalisis dan keputusan yang diperoleh didapati positif jangkitan norovirus dan sapovirus.
“Berdasarkan siasatan awal, punca jangkitan itu disyaki melalui makanan yang disediakan asrama sama ada pada 21 April lalu atau sebelumnya.
“Siasatan juga mendapati terdapat pencemaran silang berlaku pada makanan namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar wabak keracunan makanan, berikutan masih menunggu hasil keputusan sampel air,” katanya.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan kebersihan kantin sekolah oleh PKD Hilir Perak pada 25 April lalu mendapati tahap kebersihan adalah tidak memuaskan.
Katanya, arahan penutupan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] berkuat kuasa serta-merta.
“Pihak kantin telah mengambil tindakan penambahbaikan seperti yang diarahkan dan setelah penilaian semula dijalankan, premis itu telah dibenarkan beroperasi semula selepas empat hari ditutup,” katanya. – UTUSAN