GEORGE TOWN : Empat premis makanan di daerah Timur Laut di sini diarah tutup serta-merta selama 14 hari selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihan di situ tidak memuaskan.
Ini termasuk penemuan najis tikus di beberapa kawasan termasuk di stor, dapur serta tempat penyimpanan makanan beku.
Tindakan penutupan itu diambil susulan satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi Jabatan Pelesenan dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa lain, malam tadi.
Jurucakap MBPP berkata, penutupan kesemua premis terbabit yang berkuatkuasa mulai hari ini sehingga 22 Mei itu dibuat mengikut Undang-Undang Kecil 38(1), Undang-Undang Kecil (Establisymen Makanan) MPPP 1991.
Beliau berkata, secara umumnya, operasi tersebut memfokuskan kepada pematuhan syarat lesen perniagaan, kebersihan premis, pematuhan pengendali makanan, larangan merokok serta keperluan permit dan percukaian.
“Selain MBPP, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang yang turut-serta dalam operasi itu turut mengeluarkan empat kompaun berjumlah RM1,900 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Sementara itu, dua notis melibatkan kesalahan merokok di premis makanan dengan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM500 telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) manakala Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pula mengambil maklumat berkaitan percukaian pemilik dan penyewa gerai untuk siasatan lanjut di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” ujar beliau.
Tambahnya, operasi bersepadu seumpama itu akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan kepatuhan terhadap undang-undang serta kesejahteraan pengguna sentiasa terpelihara.-UTUSAN