Naik taraf LRA Pelubang siap hujung tahun 

Naik taraf LRA Pelubang siap hujung tahun 

RAJA Shahreen Raja Othman (kiri) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan BDB di Alor Setar Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang di Kubang Pasu mencatatkan kemajuan keseluruhan pembinaan mencapai 62.5 peratus iaitu melebihi sasaran asal 62.3 peratus. 

Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Raja Shahreen Raja Othman berkata, dengan perkembangan Divisyen Kejuruteraan, Pembinaan dan Kuari (ECQ) syarikat itu, LRA berkenaan dijangka siap hujung tahun ini. 

Beliau berkata, BDB komited memastikan projek itu berjalan lancar di sebalik pelbagai kekangan sebelum ini sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan bekalan air di kawasan tersebut. 

“BDB komited dalam memastikan projek ini siap mengikut jadual ditetapkan dan setakat ini projek berkenaan sudah 43 hari melangkaui jadual asal. Bagi BDB tempoh itu adalah sasaran yang mesti kami capai. 

“Apabila siap dan mula beroperasi kelak, loji ini mampu meningkatkan kapasiti bekalan air bersih kepada penduduk di Kubang Pasu dan Kota Setar, sekali gus menyelesaikan isu gangguan bekalan yang sering berlaku sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan BDB di sini hari ini. 

Raja Shahreen berkata, BDB juga bersedia engambil alih projek naik taraf LRA lain yang kini berdepan dengan masalah kelewatan. 

“BDB bersedia sebagai penyelamat jika diberikan peluang berdasarkan kemampuan kewangan, sumber dan teknikal kami yang mencukupi. 

“Projek-projek LRA ini adalah sebahagian inisiatif kerajaan negeri dalam memperkukuh keupayaan infrastruktur bekalan air bagi menyokong pembangunan sosioekonomi yang pesat di kawasan utara negeri itu dan BDB menyatakan komitmen dalam perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain kata beliau, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun lepas, BDB mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM4.51 juta dengan pendapatan sebanyak RM294.7 juta, berbanding RM14.47 juta dan RM313.1 juta pada 2023.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN