TELUK INTAN: Pemandu lori muatan batu yang terlibat dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Selasa lalu, tiba di Mahkamah Teluk Intan hari ini untuk pendakwaan.
Suspek berusia 45 tahun yang memakai baju T berwarna hitam dan seluar panjang biru gelap itu tiba di mahkamah pada pukul 9.03 pagi.
Lelaki terbabit dibawa ke mahkamah dalam keadaan bergari dengan diiringi pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Turut berada di mahkamah, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin.
Difahamkan, suspek akan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian pada pukul 8.54 pagi Selasa lalu, kenderaan membawa 18 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh dirempuh lori muatan batu yang didakwa mengalami kegagalan fungsi stereng.
Kemalangan itu mengakibatkan lapan anggota FRU maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.
Kemalangan berlaku ketika trak dinaiki kesemua mangsa bersama enam kenderaan FRU dalam konvoi perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak. – UTUSAN