Nahas trak FRU: Pemandu lori minta maaf kepada keluarga mangsa - Utusan Malaysia

Nahas trak FRU: Pemandu lori minta maaf kepada keluarga mangsa

RUDI Zulkarnain Mat Radi (tengah) ditahan selepas membayar ikat jamin di Mahkamah Teluk Intan hari ini bagi membantu siasatan kes curi lembu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Pemandu lori muatan batu yang terlibat nahas tragis membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di sini Selasa lalu, memohon maaf kepada keluarga mangsa.

Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, berkata, dia berharap keluarga kesemua mangsa dapat memaafkannya.

“Saya memang minta maaf. Saya harap keluarga mangsa dapat maafkan saya,” katanya.

Rudi Zulkarnain berkata demikian selepas  dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan setelah selesai membayar wang ikat jamin berjumlah RM6,000 bagi sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU pada 13 Mei lalu.

Pembayaran wang jaminan tersebut dibuat oleh majikan lelaki itu dikenali sebagai Ravi, 58, dan jiran sekampungnya dikenali sebagai Roslan, 62.

Masing-masing membayar jaminan berjumlah RM4,000 dan RM2,000.

Bagaimanapun, lelaki yang berasal dari Kampung Sungai Keli, Hutan Melintang itu ditangkap semula oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk. selepas 20 minit dibebaskan.

Penahanan semula lelaki itu bagi membantu siasatan kes curi lembu di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan di Hutan Melintang, Bagan Datuk pada April lalu.

Difahamkan, permohonan reman ke atas Rudi Zulkarnain akan dikemukakan pihak polis di Mahkamah Majistret Teluk Intan esok.

Menerusi laporan media Selasa lalu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dilaporkan berkata, kenderaan membawa anggota FRU itu dirempuh dari hadapan oleh lori muatan batu yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng.

Menurut beliau, kemalangan berlaku ketika trak dinaiki kesemua mangsa bersama enam kenderaan FRU lain dalam pergerakan konvoi pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, lapan anggota FRU dari Unit 5 Sungai Senam maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN