PETALING JAYA: Ketua Polis Negara ,Tan Sri Razarudin Husain menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan pagi tadi.
Sedih dengan nahas kejadian yang menimpa, beliau menyifatkan jasa anggota FRU yang terkorban itu amat dihargai memandangkan kemalangan itu berlaku selepas mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab diamanahkan.
“PDRM akan memastikan kebajikan keluarga kesemua anggota yang terkorban ini diberikan perhatian sebaiknya,” katanya ringkas.
Terdahulu, media melaporkan lapan orang anggota FRU maut dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon, berkata nahas membabitkan sebuah lori membawa muatan batu dan sebuah trak FRU yang membawa 15 anggota termasuk pemandu.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata, semua anggota FRU terbabit adalah dari Unit 5 Sungai Senam, Ipoh. – UTUSAN