TELUK INTAN: Tujuh keranda telah disiapkan di Surau Ar-Rahman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini, sementara menunggu proses bedah siasat kesemua jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) selesai.
Difahamkan, enam daripada sembilan jenazah anggota FRU telah selesai proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan setakat pukul 9 malam.
Proses bedah siasat yang bermula pukul 2.30 petang itu melibatkan tiga doktor pakar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Selepas proses bedah siasat selesai, kesemua jenazah anggota beragama Islam itu akan disembahyangkan di Surau Ar-Rahman sebelum dibawa ke Markas FRU Unit 5, Sungai Senam, Ipoh bagi istiadat penghormatan terakhir.
Jasad mendiang Sarjan S. Perumal dan Koperal Nurit Pandak turut dibawa ke IPD Hilir Perak sebelum jenazah kesemua anggota tersebut dibawa serentak ke Sungai Senam.
Jenazah sembilan anggota akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing iaitu di Masjid Tuanku Abdul Rahman Putra, Kulim; Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang dan Tanah Perkuburan Islam Meru Raya di Ipoh serta Kampung Sungai Itik dekat Gopeng.
Tiga lagi anggota pula akan dikebumikan di Kampung Pantai Besar dekat Batu Kurau; Masjid Simpang, Taiping dan Kampung Parit Teluk Pial, Kuala Kurau.
Jasad mendiang Sarjan S. Perumal akan dibawa ke Krematorium Buntong manakala Koperal Nurit Pandak pula dibawa ke Kampung Orang Asli Bukit Terang, Kampar. – UTUSAN