PUTRAJAYA: Pemergian lapan anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) yang maut dalam insiden di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan hari ini disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesemua mangsa telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam menjaga keselamatan rakyat.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa dan anggota pasukan keselamatan yang terkesan dengan kejadian ini.
“Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar buat negara, kerana mereka telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam menjaga keamanan dan keselamatan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin turut mendoakan agar dosa mangsa diampunkan selain roh mereka ditempatkan bersama yang beriman selain dianugerahkan pahala untuk segala jasa wira terbabit kepada negara.
Terdahulu, media melaporkan sekurang-kurangnya lapam anggota FRU maut selepas trak dinaiki bertembung lori muatan batu di Jalan Sungai Lampam, Teluk Intan pagi tadi.
Difahamkan, kenderaan membawa 15 anggota FRU termasuk penumpang dan pemandu itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas tugas kawalan Op Chariot di Teluk Intan, semalam. – UTUSAN