MELAKA: Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi ) Kampung Padang, Pokok Mangga di sini yang dilengkapi kemudahan digital kini boleh dimanfaatkan penduduk setempat untuk menjana pendapatan serta mengikuti latihan keusahawanan secara dalam talian.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, ia antara sembilan pusat baharu yang diterima Melaka tahun lalu di bawah inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan kerjasama Maxis.
“Tahun ini, kami memohon tambahan 10 lagi pusat Nadi kerana sambutannya sangat menggalakkan daripada semua wakil rakyat menjadikan kesemuanya 39 di seluruh Melaka.
“Nadi bukan hanya tempat akses internet, tetapi tempat rakyat belajar, jana pendapatan dan mendapat maklumat kerajaan, malah, ada cadangan untuk adakan kelas mengaji dan tuisyen dalam talian di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Nadi Kampung Padang yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin, hari ini.
Katanya lagi, setiap pusat Nadi kini berfungsi dalam lima klaster utama iaitu keusahawanan, program sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran dan inisiatif kerajaan.
Sementara itu, Allex Seah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, pemilihan Kampung Padang kerana kawasan tersebut menempatkan sembilan blok rumah pangsa dengan lebih 8,000 penduduk dalam radius tiga kilometer. – UTUSAN