MyKiosk tidak lasak, peniaga harap tambah baik

MyKiosk tidak lasak, peniaga harap tambah baik

KEADAAN MyKiosk yang ditempatkan di sekitar kawasan Pekan Senaling, Kuala Pilah.-UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Premis perniagaan MyKiosk hasil inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) didakwa peniaga sebagai ‘tidak lasak’ sehingga boleh mengganggu perniagaan dijalankan.

Seorang peniaga pisang goreng di pekan Senaling di sini, Nur Farisha Atiqah, 29, memberitahu, semasa hujan kios yang dikendalikannya juga sering terkena tempias air.

“Kios ini selesa sahaja, cumanya kalau waktu hujan mesti terkena tempias air hujan sebab rekaannya terbuka. 

“Lantai pun sudah berlubang sebab tidak tahan lasak. Saya harap kios ini dapat ditambah baik rekaannya agar lebih selesa dan kukuh,” katanya di sini semalam.

Dia bagaimanapun mengakui inisiatif MyKiosk banyak membantunya bagi meningkatkan jualan.

“Ketika saya saya berniaga menggunakan khemah, ruang sangat terhad jadi saya tidak dapat menggantung banner.

“Sejak ada kios ini saya perasan jualan saya lebih dapat sambutan sebab orang nampak apa yang saya jual,” katanya.

Sementara peniaga kuih-muih tradisional, Hasnah Hussin, 64, berkata, menerusi kios yang disewanya itu, kini dia tidak perlu lagi bersusah-payah untuk mengangkut barangan perniagaannya.

“Sebelum ini saya berniaga menggunakan khemah,  saya perlu angkut barangan perniagaan ke rumah. Tetapi sekarang saya hanya perlu simpan di dalam kios sahaja,” katanya yang memberitahu menyewa kios berkenaan pada kadar RM80 sebulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN