Seramai 12 murid daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, Jeli Kelantan tidak dapat menyembunyikan keterujaan mereka apabila berpeluang melawat Pesta Buku Kelantan 2025 yang diadakan di sebuah pusat beli-belah bermula 24 April lalu.
Lawatan yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli itu turut disertai oleh murid-murid daripada sekolah sekitar daerah berkenaan antaranya SK Pendok dan SK Kalai. Kesemua peserta menaiki sebuah bas khas yang disediakan oleh PPD Jeli.
Pesta Buku Kelantan yang kini menjadi acara tahunan dan antara yang terbesar di negeri ini memberi peluang mereka merasai program pesta buku.
Bagi murid-murid dari SK Batu Melintang, ini bukan sahaja pengalaman pertama mereka ke pesta buku, malah ada antara mereka juga kali pertama menjejak kaki ke Bandar Kota Bharu. Tiga orang guru pengiring turut bersama menjayakan lawatan ini, iaitu Muhammad Ikmal Lutfi Amir, Norsarah Ibrahim, dan Ahmad Safarman Dollah. – UTUSAN