KUALA LUMPUR: Pelakon, Hafreez Adam turut terasa kehilangan rakan baiknya yang juga pelakon, Aza Azmi yang menghilang tanpa khabar berita sejak beberapa tahun lalu.
Menurut pemilik nama sebenar Hafreez Adam Aizat Zahalan, 34, dia bagaimanapun menghormati keputusan Aza yang mungkin memilih untuk berehat daripada dunia lakonan.
“Kali terakhir kami berhubung antara tahun 2021 atau 2022. Selepas itu saya cuba hubunginya namun gagal.
“Mungkin dia perlukan tempoh bertenang. Saya hormati keputusannya,” katanya.
Hafreez berkata demikian pada tayangan perdana filem Gantung: Musketeer Code baru-baru ini.
Katanya, tekanan dalam industri hiburan mungkin membuatkan Aza menyepi daripada dunia lakonan.
“Boleh jadi dia penat dengan dunia hiburan. Kita semua tahu bidang ini banyak tekanan, jadi mungkin selepas beberapa tahun dia rasa dunia hiburan ini tak sesuai dengannya.
“Mungkin dia perlu berehat. Kita tak tahu bila dia akan kembali semula berlakon,” kongsinya.
Hafreez dalam masa sama mendoakan kebaikan buat sahabatnya itu dan berharap dia meneruskan karier lakonannya.
“Apa apa pun perkara yang terbaik adalah untuk berdoa kesejahteraannya.
“Saya sokong kalau dia berniat kembali berlakon. Harapnya dia dalam keadaan baik sahaja,” katanya. – UTUSAN