MOT mahu jadikan stesen keretapi nadi pembangunan

MOT mahu jadikan stesen keretapi nadi pembangunan

ANTHONY Loke Siew Fook, hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian antara Perbadanan Aset Keretapi dan Kumpulan Sunway Bagi Pembangunan Berorientasikan Transit Seremban Sentral, di Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan mahu stesen keretapi di negara ini menjadi nadi dan pusat pembangunan tempatan sama seperti yang pernah berlaku satu ketika dulu.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, tanah yang dimiliki oleh perkhidmatan keretapi tidak mempunyai nilai yang sebenar jika tidak disokong dengan pembangunan di kawasan sekitarnya.

Katanya, sejarah menunjukkan stesen keretapi menjadi pemangkin kepada pembangunan di sekitarnya seperti Seremban yang pernah menyokong perlombongan bijih timah.

“Dalam era moden ini kita mahu hidupkan konsep itu dengan membangunkan tanah milik perkhidmatan rel.

“Jika ramai yang tinggal dan bekerja berhampiran stesen keretapi, perkhidmatan rel seperti KTM Komuter, ETS (perkhidmatan tren elektrik) dan lain-lain akan mendapat sambutan lebih baik,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Kumpulan Sunway di sini hari ini.

Perjanjian itu menyaksikan Kumpulan Sunway dipilih untuk membangunkan tanah seluas 8.4 hektar milik RAC dengan projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) dikenali sebagai Seremban Sentral yang terletak berhampiran Stesen Keretapi Seremban.

Projek itu yang dijangka bermula dalam tempoh 6 bulan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion akan mengubah landskap ekonomi dan sosial di bandar Seremban.  

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Datuk Azhar Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property, Chong Sau Min.

Anthony menarik perhatian, sebagai ibu negeri yang kian pesat membangun, Seremban memerlukan pusat bandar raya moden, mampan dan tersusun.

“Seremban Sentral bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan itu dengan menyatukan komponen perumahan, komersial, pusat perubatan, institusi penganjian tinggi, kemudahan awam, sosial dan pengangkutan dalam satu ekosistem yang terangkum,” ujarnya.

Sementara itu, Pengasas serta Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berkata, beliau percaya syarikatnya mempunyai peluang yang besar untuk berjaya dalam projek itu.

“Rangkaian lebuh raya dan landasan berkembar memberi kelebihan kepada Seremban jika diuruskan dengan cekap serta sokongan daripada semua pihak,” katanya.

Beliau memberitahu, Kumpulan Sunway mempunyai sejarah kejayaan apabila membangunkan tanah di Sungai Way, Selangor yang hanya bernilai RM1 sekaki persegi pada akhir 80-an kepada lebih RM1,000 ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN