Moratorium tempoh interim pelaksanaan waktu jururawat dilanjut sebulan lagi

Moratorium tempoh interim pelaksanaan waktu jururawat dilanjut sebulan lagi

DZULKEFLY Ahmad bergambar bersama kakitangan kesihatan selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan 2025 di Institut Kanser Negara di sini, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Moratorium kepada tempoh interim pelaksanaan waktu bekerja selama 45 jam membabitkan golongan jururawat Kementerian Kesihatan (KKM) dilanjutkan sebulan lagi, sebelum rumusan sesi libat urus dibentangkan kepada Kabinet pada 1 Julai depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tempoh pelanjutan moratorium itu membolehkan pihaknya untuk meneliti pelbagai aspek melibatkan petugas kesihatan terutamanya membabitkan isu kebajikan.

“Banyak kali saya sebut, saya tidak akan berpuas hati untuk membuat keputusan tanpa saya benar-benar memahami keseluruhan program kejururawatan secara terperinci (kerana) kumpulan berbeza, beban kerja (juga berbeza).

“Saya yakin kita sudah sampai di peringkat untuk membuat ketetapan itu. Memang mudah buat rumusan tetapi yang mustahak adalah segala pertimbangan, perhitungan dan keprihatinan yang cakna kepada bidang kejururawatan ini supaya ia benar-benar dapat disesuaikan dan dilaksanakan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Institut Kanser Negara di sini hari ini.

Pada 25 Februari lalu, Dzulkefly dilaporkan berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan tempoh interim bagi persediaan pelaksanaan pendekatan itu antara 1 Disember lalu hingga 28 Februari lepas.

Beliau berkata, sepanjang tempoh interim berkenaan, KKM sudah melaksanakan sesi libat urus dan dialog awam mengikut zon di seluruh negara.

Sebelum ini, Kesatuan Jururawat Malaya membangkitkan kebimbangan mengenai pelaksanaan waktu bekerja selama 45 jam itu, menyifatkan ia sebagai tidak adil untuk membandingkan jururawat yang bekerja secara syif, termasuk tugas malam, dengan pekerja pejabat yang hanya bekerja pada hari biasa.

Bagaimanapun, Dzulkefly melalui maklum balas kepada kebimbangan itu menyifatkan arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang memerlukan jururawat di wad hospital bekerja tambahan tiga jam seminggu mulai 1 Disember ini sebagai munasabah.

Beliau berkata, walaupun jururawat perlu bekerja 45 jam seminggu berbanding 42 jam sebelum ini, kebajikan barisan hadapan kesihatan itu akan lebih terjaga menerusi waktu bekerja syif yang lebih fleksibel.

Sementara itu, ketika ditanya ditanya mengenai isu elaun jururawat yang sebelum ini dibangkitkan  oleh Kesatuan Jururawat Malaya, beliau memaklumkan perkara itu masih di peringkat perbincangan.

“Saya (telah) arah perkara ini diteliti dan perlu sedikit waktu kerana ia masih peringkat perbincangan,” ujarnya.

Pada 9 Mac lepas, MNU menyarankan kerajaan untuk menyemak semula elaun jururawat termasuk elaun wilayah RM1,000 sebulan bagi yang berkhidmat di luar negeri asal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN