PETALING JAYA: Minggu Kedah di Pavilion Malaysia sempena Ekspo 2025 Osaka menarik lebih 200,000 pengunjung dari seluruh dunia sekaligus mempromosikan tarikan budaya dan pelancongan negeri itu ke peringkat global.
Program anjuran Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Tourism Kedah dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu telah menutup tirainya semalam setelah berjaya membawa keunikan budaya, makanan tradisional serta tarikan pelancongan Kedah kepada khalayak antarabangsa.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau berbangga kerana Kedah menjadi negeri pertama di Malaysia yang menganjurkan minggu khas di ekspo itu.
“Kedah bukan sahaja kaya dengan warisan dan keindahan semula jadi, malah merupakan cerminan hidup identiti budaya Malaysia.
“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memperkukuh daya tarikan Kedah sebagai destinasi pelancongan dan hab pelaburan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh MITI.
Antara tarikan utama sepanjang Minggu Kedah adalah demonstrasi hidangan tradisional diketuai oleh cef terkenal dari Kedah, Chef Din, selain sesi interaktif penyediaan roti jala bersama kari ayam yang menjadi tumpuan pengunjung.
Turut ditampilkan persembahan seni bela diri silat oleh pasukan dari Kedah dan peragaan Baju Kurung Kedah dalam gaya moden yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisionalnya.
Pengunjung juga diberi peluang mencuba pakaian tradisional tersebut bagi mendapatkan pengalaman langsung terhadap warisan tekstil Kedah.
Tambah Muhammad Sanusi, pameran pelancongan Cuti-Cuti Kedah di bawah tema “Experience Kedah” sebagai sebahagian daripada kempen Visit Kedah 2025 menjadi sorotan utama, yang mempromosikan keunikan tarikan semula jadi dan budaya negeri itu.
“Di Ekspo 2025 ini, kami berbesar hati untuk memperkenalkan Kedah kepada dunia sebagai negeri yang meraikan tradisi sambil menyambut inovasi.
“Dari keindahan alam hingga citarasa warisan, semuanya membawa nadi Malaysia,” tambah beliau.
Pavilion Malaysia di Ekspo Osaka 2025 bertema `Menganyam Masa Depan Dalam Harmoni’, berlandaskan aspirasi Malaysia MADANI direka oleh arkitek terkenal Jepun, Kengo Kuma.
Pavilion bersaiz 2,654.52 meter persegi merentasi tiga tingkat, menjadi hab bagi kerjasama dan dialog antarabangsa.
Sepanjang 26 minggu ekspo berlangsung, ia akan menjadi hab bagi kerjasama dan dialog antarabangsa, melibatkan penyertaan 21 kementerian, 70 agensi dan 10 kerajaan negeri.
Pelbagai program termasuk sesi bicara mini (pocket talks), pelancaran produk, pemeteraian MoU dan sesi padanan perniagaan diadakan sepanjang ekspo berlangsung. – UTUSAN