LANGKAWI: Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memeterai perjanjian pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh untuk kegunaan pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Lokman Hakim Ali dan Pengerusi Eksekutif SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Majlis perjanjian tersebut turut disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menerusi kenyataan bersama Mindef dan SKMM, perjanjian tersebut adalah simbolik kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha memperkasa keupayaan serta kesiapsiagaan sistem pertahanan negara menerusi penyediaan infrastruktur ketenteraan kritikal berteraskan teknologi komunikasi dan keselamatan.
Selain itu, katanya, perjanjian itu turut melambangkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa keselamatan negara melalui pendekatan kolaboratif antara sektor awam dengan pertahanan.
“Menerusi perjanjian ini, SKMM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bersama-sama melaksanakan inisiatif strategik menyeluruh bagi pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh TUDM.
“Sistem radar yang baharu ini bakal memperkukuh keupayaan pemantauan dan kawalan ruang udara di wilayah selatan Semenanjung Malaysia dan secara langsung menyumbang kepada pengukuhan keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.
Mengulas lanjut, sokongan itu adalah sejajar dengan pendekatan keseluruhan kerajaan (WoG) yang mengutamakan sinergi antara agensi bagi mencapai aspirasi nasional.-UTUSAN