PETALING JAYA: Mesyuarat bersemuka antara pemimpin-pemimpin ASEAN dan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) akan memperkukuh peranan institusi Parlimen dalam memacu pertumbuhan rantau yang lebih terangkum dan mampan.
Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat menerusi kenyataan memaklumkan, mesyuarat berprofil tinggi itu dikenali sebagai ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) Leaders’ Interface 2025 yang akan diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.
Sesi khas ini bakal menghimpunkan Ketua-ketua Negara dan Kerajaan ASEAN bersama Speaker, Timbalan Speaker serta wakil-wakil Parlimen dari negara anggota ASEAN dalam platform strategik untuk menyelaras keutamaan serantau melalui tadbir urus inklusif yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mempengerusikan sesi dialog tersebut, manakala Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Presiden AIPA, Tan Sri Johari Abdul akan menyampaikan Mesej AIPA bagi mewakili suara Parlimen rantau ini,” katanya.
Bertemakan “Parlimen Menerajui Pertumbuhan Terangkum dan ASEAN yang Mampan”, sesi ini menzahirkan komitmen ASEAN untuk memperkukuh sinergi antara cabang eksekutif dan legislatif demi membina masa depan rantau yang lebih seimbang dan lestari.
Antara fokus utama yang bakal dibincangkan termasuk isu keselamatan makanan, peralihan tenaga yang adil, tadbir urus digital dan daya tahan terhadap perubahan iklim, selari dengan agenda lebih luas Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
“Visi ASEAN sebagai komuniti berpaksikan rakyat hanya dapat direalisasikan sepenuhnya dengan penglibatan aktif Parlimen yang bertanggungjawab.
“Kerjasama ini penting bagi memastikan dasar pembangunan dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan akauntabiliti,” katanya. – UTUSAN