PETALING JAYA: Rakyat perlu menolak sebarang bentuk ekstremisme yang mengancam keharmonian negara.
Peringatan itu diberikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bagi memperingati genap setahun tragedi berdarah membabitkan Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang diserang individu bersenjata hingga mengorbankan dua anggota polis pada 17 Mei 2024.
Beliau berkata, tragedi itu bukan sekadar peristiwa hitam dalam sejarah keselamatan negara tetapi satu peringatan mendalam bahawa keamanan yang dikecapi hari ini dibayar dengan pengorbanan nyawa para perwira.
“Setahun berlalu, namun semangat mereka tetap hidup dalam setiap detik khidmat kita.
“Pengorbanan mereka adalah lambang keberanian, kesetiaan dan amanah perjuangan mempertahankan negara.
“Kepada rakyat, kita seru agar terus memberi sokongan padu kepada pasukan keselamatan dan menolak sebarang bentuk ekstremisme yang mengancam keharmonian negara,” katanya.
Razarudin turut menyeru seluruh anggota pasukan keselamatan untuk terus bersatu hati, meningkatkan latihan serta memantapkan kawalan keselamatan di setiap penjuru tanah air.
“Kita bukan sahaja wajib memperingati mereka, tetapi juga memperkukuh kesiap-siagaan, memelihara perpaduan serta memperhalus pendekatan keselamatan negara agar kejadian seumpama ini tidak berulang.
“Kewaspadaan bukanlah pilihan, tetapi kewajiban,” katanya.
Dalam serangan itu, dua anggota polis iaitu Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia manakala suspek berusia 21 tahun mati ditembak.
Serangan berkenaan turut menyebabkan Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera terkena tembakan pada bahu dan pinggul. – UTUSAN