PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘cepat longlai’ berikutan kenyataan bahawa slogan ‘Saya Melayu dahulu, baru Malaysia’ sudah tidak lagi relevan.
Jelasnya, tidak ada sebarang kesalahan untuk mempertahankan slogan itu memandangkan ia tidak berunsur perkauman mahupun mengajak kepada diskriminasi kaum.
“Apa masalahnya dengan slogan ‘I Malay first, Malaysian second’? Ia bukan berunsur perkauman. Ia tidak mengajak pembersihan kaum. Ia soal identiti, budaya, nilai asal usul.
“Tiada masalah setiap kaum menjaga identiti masing-masing. Itulah sumber kekuatan Malaysia yang berbilang kaum. Kenapa Muhyiddin takut? ‘Malay First’ adalah penuh toleransi dan tidak menghalang kongsi kuasa.
“Ia melahirkan ‘kontrak sosial’. Sebab itu sekolah vernakular masih kekal di Malaysia. Muhyiddin takut bayang-bayang sendiri. ‘Malay First’ tidak kontradik dengan Artikel 153. Ia penyumbang kepada kesaksamaan dan keadilan sosial,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Pada 4 Mei lalu, Muhyiddin berkata, pandangan lamanya mengenai keutamaan identiti Melayu kini tidak lagi relevan dalam konteks semasa.
Menurutnya, beliau kini merupakan pemimpin yang mengambil berat terhadap semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan menegaskan komitmen PN untuk berlaku adil kepada semua. – UTUSAN