SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merobohkan 21 khemah dan menyita 10 barangan dalam operasi perobohan gerai penjaja tanpa permit di Jalan SP 2/1, Taman Subang Perdana, Seksyen U3 di sini, semalam.
Jabatan Korporat dan Perhubungan Awamnya memaklumkan, tindakan diambil susulan aduan penduduk berkenaan aktiviti pembinaan gerai tanpa kebenaran serta kegiatan perniagaan tanpa lesen.
“Aktiviti-aktiviti penjaja ini telah menimbulkan pelbagai isu termasuk halangan kepada laluan awam, kesesakan lalu lintas, masalah kebersihan serta gangguan terhadap ketenteraman dan keharmonian di kawasan persekitaran.
“Tindakan meroboh 21 khemah dijalankan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) iaitu binaan tanpa kebenaran MBSA. Manakala sebanyak 10 barangan di khemah penjaja disita di bawah Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007 iaitu menjalankan aktiviti penjaja tanpa lesen atau permit dan meninggalkan barang-barang perniagaan selepas waktu perniagaan,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Penguatkuasaan MBSA telah mengeluarkan 14 notis kepada penjaja di kawasan sama, Ogos tahun lalu.
Katanya, pada September 2024 juga, operasi bersepadu membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama Jabatan Imigresen dilakukan di lokasi sama. – UTUSAN