Mayat reput sah Siti Rohani jatuh sungai sejak enam bulan lalu

Mayat reput sah Siti Rohani jatuh sungai sejak enam bulan lalu

SITI ROHANI SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis mengesahkan mayat reput yang ditemukan terdampar di tebing Sungai Kedah, Alor Mengkudu dekat sini Januari lepas adalah Siti Rohani Saad, 37, yang hilang dipercayai jatuh sungai November tahun lepas. 

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pengesahan itu ekoran keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh Ahad lepas.

 “Keputusan DNA tersebut positif milik Siti Rohani dan mayatnya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dituntut keluarga pada hari sama setelah perkara itu dimaklumkan kepada mereka untuk disemadikan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 Katanya, pihak polis akan terus menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut, namun setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

 Akhbar sebelum ini melaporkan kehilangan Siti Rohani, dari Kampung Kuala Lanjut, Pokok Sena selepas motosikal miliknya ditemui di tebing Sungai Titi Haji Idris, pada 8 November tahun lepas.

 Wanita itu dilaporkan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Jalan Pegawai dekat sini pada awal pagi hari kejadian.

 Mayat seorang wanita dalam keadaan reput kemudian ditemukan orang awam di Sungai Kedah berkenaan pada 14 Januari lepas yang dikaitkan dengan kehilangan mangsa.

Sementara itu, setelah lebih enam bulan berlalu, penantian keluarga wanita itu berakhir apabila jenazah Siti Rohani dibawa pulang ke Kampung Kuala Lanjut, Bukit Lada di sini.

 Walaupun hanya sekujur tubuh yang tidak bernyawa, namun keluarga wanita itu dapat menghela nafas lega selain bersyukur kerana dapat menyempurnakan perjalanan akhirnya ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Kuala Lanjut di sini, selepas waktu Maghrib, Jumaat lepas.

 Kakak Allahyarham, Naziroh, 51, berkata, keluarganya menerima panggilan daripada polis berhubung perkara itu pada tengah hari Jumaat lalu sebelum membuat tuntutan jenazah di HSB pada hari yang sama.

 “Alhamdulillah, arwah dikebumikan selepas solat Maghrib. Kami sekeluarga bersedih dengan kejadian ini namun sudah reda kerana itulah ketentuan Allah SWT. Sejak mayat ditemukan pada Januari lepas di Alor Mengkudu kami juga sudah menerima hakikat bahawa itu adalah Siti Rohani.

 “Cuma kami berharap dapat membawa Siti Rohani pulang untuk dikebumikan dan penantian itu berakhir,” katanya.

 Menurut Naziroh, keluarganya bagaimanapun berharap siasatan ke atas kemalangan yang menimpa adiknya itu dapat diteruskan.

 “Polis ada memberitahu bahawa mereka akan terus menyiasat kes kematian ini dan apa pun kami berharap mendapat jawapannya satu hari nanti. Saya tidak berhenti berdoa untuk itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN