Mara peruntuk RM8 juta bangun usahawan bumiputera bidang optometri

Mara peruntuk RM8 juta bangun usahawan bumiputera bidang optometri

Datuk Zulfikri Osman di Majlis Perasmian Program Pembangunan Usahawan Optometri di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyediakan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi menyokong program pembangunan usahawan dalam bidang optometri untuk melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera di sektor berkenaan

Ketua Pengarah Mara, Datuk Zulfikri Osman berkata, setiap peserta bakal menerima pembiayaan maksimum sehingga RM400,000, tertakluk kepada keperluan dan kesesuaian pelan perniagaan.

Kata beliau, bantuan turut membabitkan latihan intensif bersama pakar industri dan bimbingan keusahawanan secara komprehensif.

“Peserta juga akan diberi peluang menjalani penempatan kerja dan latihan praktikal bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya untuk menguruskan perniagaan dalam bidang optometri secara berkesan,” katanya  kepada pemberita di Majlis Perasmian Program Pembangunan Usahawan Optometri di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersial memangku Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan Mara, Lailatul Asmah Mohd Tahir dan Pengurus Calisto, Wong Ching Fook.

Sementara itu, seramai 61 calon hadir ke sesi pemilihan kumpulan pertama program itu, namun hanya sekitar 30 peserta akan dipilih untuk fasa permulaan berdasarkan kelayakan, komitmen serta rekod akademik masing-masing.

Program itu turut disokong dengan pemantauan berterusan bersama Calisto bagi memastikan prestasi perniagaan peserta kekal kompetitif dan mampu berkembang dari tahun ke tahun.

Zulfikri berkata, program hasil kerjasama Mara dan Calisto itu mampu merapatkan jurang ekonomi serta meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera dalam industri optometri yang sebelum ini didominasi pihak lain.

“Buat permulaan, kita telah memilih kumpulan awal peserta, dan program ini akan dibuka kepada lebih ramai individu yang berminat dari semasa ke semasa.

 “Inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan mata, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan di seluruh negara”, katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN