Mandur ladang trauma diikat, diacukan pisau

Mandur ladang trauma diikat, diacukan pisau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Seorang mandur ladang melalui detik hitam apabila diikat dan diacukan pisau oleh dua lelaki bertopeng dalam kejadian samun bersenjata di rumahnya di Felda Jengka 8, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, Mohamad Najib Ramli, 34, kerugian hampir RM16,000 selepas wang tunai, barang kemas, telefon bimbit dan kereta miliknya dilarikan penjenayah.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut menerusi panggilan telefon daripada orang awam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

“Siasatan mendapati mangsa tinggal seorang diri dan kejadian berlaku ketika dia hendak mengambil air minuman di dapur. Sebaik sahaja membuka lampu, mangsa dikejutkan dengan kemunculan dua lelaki bertopeng, salah seorang bersenjatakan pisau dan seorang lagi memegang objek keras yang dibalut kain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, mangsa tidak melawan selepas diugut dan tangannya diikat menggunakan tali nilon berwarna biru manakala kaki pula diikat dengan tali pinggang.

“Salah seorang suspek kemudian menutup kepala mangsa dengan objek berbalut kain sebelum mereka melarikan beg galas berisi wang tunai RM1,000, kad bank, barang kemas ( loket dan rantai) dianggarkan seberat 20 gram dan seunit telefon pintar. Turut dilarikan ialah kereta milik mangsa jenis Proton Saga FLX,” katanya.

Wong berkata, suspek turut memaksa mangsa menyerahkan kata laluan Maybank2u dan nombor PIN kad  mesin pengeluaran automatik (ATM) serta mengugut akan kembali semula selepas mengeluarkan wang.

Selepas suspek melarikan diri, katanya, mangsa dapat melepaskan ikatan dan segera menunggang motosikal ke sebuah kedai makan berhampiran untuk meminta bantuan penduduk kampung.

“Pemeriksaan polis di lokasi kejadian menemukan beberapa barangan yang dipercayai ditinggalkan suspek termasuk seutas tali nilon, pisau dapur, tali pinggang, sehelai baju dan puntung rokok.

“Tangkapan awal berjaya dilakukan dalam tempoh kurang daripada 15 jam selepas kejadian. Maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN