Malaysia terus perkukuh sektor tenaga boleh diperbaharui

Malaysia terus perkukuh sektor tenaga boleh diperbaharui

JOHARI Abdul Ghani (dua dari kiri) mendengar taklimat berkenaan Stesen Suntikan Biometena Berpusat di Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) terus diperkukuh menerusi pembukaan Stesen Suntikan Biometena Berpusat pertama di negara ini, di sini hari ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, stesen yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada suku kedua tahun 2026 dibangunkan oleh Gas Malaysia Green Ventures Sdn. Bhd. (GMGV), iaitu anak syarikat milik penuh Gas Malaysia Berhad.

Menurutnya, stesen berkenaan menjadi simbol komitmen negara untuk menjadikan industri kelapa sawit sebagai pemacu utama peralihan tenaga negara ke arah yang lebih mampan dan hijau.

“Stesen GMGV ini dibina secara strategik untuk menerima biometana dari kilang kelapa sawit yang terletak dalam radius 200 kilometer sebelum disalurkan ke dalam rangkaian gas asli negara.

“Inisiatif ini membuktikan potensi sebenar komoditi sawit negara, khususnya efluen kilang minyak sawit (POME) yang berjaya ditukar menjadi gas biometana bersih dan lestari.

“Teknologi seperti ini memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran negara untuk pengurangan pelepasan karbon serta kelestarian sektor perladangan. Ia selaras dengan usaha Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih (net zero emissions) menjelang tahun 2050,” katanya semasa merasmikan stesen berkenaan, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Gas Malaysia Berhad, Tan Sri Wan Zulkiflee Ariffin dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Razali Mohamad.

Johari berkata, projek berkenaan menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Biojisim Negara 2023–2030 (PTBN2030) yang memberi fokus terhadap ekonomi kitaran dan pembangunan tenaga berimpak tinggi daripada sumber biojisim perladangan.

Menurutnya, Inisiatif itu turut menyumbang terhadap Dasar Tenaga Negara 2022–2040 (NEP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN