Malaysia tekad pimpin ASEAN lebih tegas, fokus ekonomi, projek Grid Kuasa Serantau – PM

Malaysia tekad pimpin ASEAN lebih tegas, fokus ekonomi, projek Grid Kuasa Serantau – PM

ANWAR Ibrahim bergambar bersama ketua-ketua pengarang media selepas Sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia komited memacu ASEAN ke arah fasa pertumbuhan yang lebih berani dan strategik dengan menumpukan kepada integrasi ekonomi, peluasan perdagangan serta kesalinghubungan tenaga rentas sempadan sebagai antara tonggak utama di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam menghadapi cabaran geopolitik global yang semakin mencabar, Malaysia mahu mengangkat ASEAN bukan sekadar sebuah platform berkecuali tetapi menjadi satu kuasa serantau yang lebih bersatu dan berteraskan nilai di rantau Indo-Pasifik.

“Fokus utama kita tahun ini adalah untuk memperkukuh kesepaduan ASEAN, meningkatkan kepentingan dan perdagangan ekonomi serta menggalakkan pelaburan antara negara anggota,” katanya dalam sesi taklimat khas bersama ketua-ketua pengarang media di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Antara inisiatif utama yang diumumkan Perdana Menteri ialah projek Grid Kuasa ASEAN, yang disifatkan sebagai langkah besar dalam kerjasama tenaga serantau.

Fasa pertama projek itu melibatkan sambungan kabel dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia melalui Grid Nasional, sebelum diperluaskan ke Singapura.

“Fasa pertama yang dilihat lebih berdaya saing dari segi ekonomi adalah penyambungan antara Vietnam ke Utara dan Selatan Semenanjung, seterusnya ke Singapura melalui Grid Nasional kita,” katanya sambil menambah bahawa Petronas mungkin diberi peranan utama dalam melaksanakan projek berkenaan.

Fasa seterusnya pula bakal diperluaskan ke Kemboja, Thailand dan Sarawak yang memiliki kapasiti besar dalam tenaga alternatif termasuk gas.

Katanya, ini membuka kemungkinan penghantaran tenaga ke Kalimantan, ibu kota baharu Indonesia dan juga ke selatan Filipina.

Sebagai negara Pengerusi ASEAN 2025, Anwar berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan proaktif dalam menjenamakan semula ASEAN di pentas antarabangsa menerusi pendekatan diplomasi berprinsip dan berpandukan nilai sejagat.

“Kita mahu ASEAN mara sebagai satu kuasa serantau dengan hala tuju ekonomi yang jelas serta pendekatan yang berprinsip. Bukan hanya sekadar berkecuali, tetapi berteraskan nilai dan visi,” tegasnya.

Malaysia kini memegang jawatan Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema berteraskan komuniti, daya tahan ekonomi dan pembangunan mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN