Malaysia sangkal dakwaan kenakan tarif 47 peratus

Malaysia sangkal dakwaan kenakan tarif 47 peratus

ANWAR IBRAHIM - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyangkal dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa Malaysia mengenakan tarif sebanyak 47 peratus ke atas barangan import dari negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengiraan AS dibuat berdasarkan nisbah mudah defisit perdagangan antara negara itu dengan Malaysia berbanding jumlah import antara kedua-dua pihak pada 2024.

Katanya, dakwaan itu digunakan sebagai asas untuk mengenakan tarif timbal balas 24 peratus ke atas Malaysia iaitu mengurangan 50 peratus ke atas tarif 47 peratus yang dikatakan dikenakan terhadap barangan import dari AS.

“Pengiraan ini tidak mencerminkan tahap tarif sebenar dan tidak berlandaskan teori ekonomi yang kukuh. 

“Hakikatnya secara purata, tarif dikenakan ke atas import barangan AS ke Malaysia hanyalah 5.6 peratus dan ini diakui Pejabat Perwakilan Perdagangan AS dalam laporan 2025 National Trade Estimate Report on Foreign Trade Barriers of the President of the United States on the Trade Agreements Program yang diterbitkan 31 Mac 2025,” katanya dalam Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebagai salah satu rakan dagang terbesar negara, keputusan AS itu memberi kesan ketara kepada prestasi eksport Malaysia sekali gus menjejaskan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, kerajaan mengambil serius tindakan pengenaan tarif timbal balas oleh AS.

“Justeru, mengambil kira kepentingan Amerika Syarikat sebagai destinasi eksport dan sumber pelaburan asing terbesar Malaysia, kerajaan berpendirian bahawa sebarang cabaran terhadap hubungan perdagangan perlu ditangani secara pragmatik dan berteraskan kepentingan negara, di samping mengekalkan hubungan baik dengan semua rakan dagang Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia kini secara agresif membuka ruang perdagangan baharu dan meningkat kegiatan dengan rakan dagang sedia ada, Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS), Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan telah membuahkan hasil.

“Umpamanya, pertumbuhan eksport ke negara ASEAN telah meningkat sebanyak 4.2 peratus dan Kesatuan Eropah (EU) telah meningkat sebanyak 2.6 peratus.

“Pertumbuhan eksport ke pasaran bukan tradisional pada 2024 juga telah melonjak. Antaranya Mesir sebanyak 53.6 peratus, Pakistan sebanyak 29 peratus dan Kemboja sebanyak 30.1 peratus.

“Angka-angka ini menunjukkan kejayaan lawatan ke luar negara anggota Jemaah Menteri dalam menzahirkan komitmen Kerajaan Madani untuk tidak bergantung kepada satu sumber atau pasaran sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya