KUALA LUMPUR: Malaysia mahu memperluaskan penggunaan teknologi tanpa pengorekan (trenchless) sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan infrastruktur lebih mampan dan berimpak rendah.
Kaedah itu terbukti berkesan dan selamat khususnya membabitkan pembinaan utiliti bawah tanah seperti sistem pembetungan, saluran paip air dan rangkaian telekomunikasi di kawasan bandar yang padat dengan penduduk.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, secara praktiknya, kaedah seperti pembicuan paip telah membolehkan peletakan saluran pembetungan di kawasan bandar dan sesak dengan gangguan permukaan yang minimum.
Katanya, ia memainkan peranan penting dalam pengembangan dan pemodenan sistem pembetungan Malaysia.
“Di Lembah Klang, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) telah melaksanakan beberapa projek pembetungan serantau yang luar biasa.
“Projek itu berjaya menghubungkan jutaan isi rumah kepada sistem rawatan kumbahan berpusat, meningkatkan standard pelepasan efluen dan membantu melindungi sungai untuk yang penting untuk generasi akan datang.
“Usaha yang sama turut diperluaskan ke Ipoh, Pulau Pinang, Kuantan dan kawasan lain di seluruh negara,” katanya ketika merasmikan Trenchless Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kaedah yang meminimumkan penggalian dan gangguan di permukaan, dapat membantu memelihara alam sekitar, mengurangkan gangguan komuniti dan mengelakkan kerosakan pada infrastruktur sedia ada.
Katanya, kaedah itu bukan sahaja memberikan alternatif, tetapi perlu dilihat sebagai teknologi teras untuk pembangunan mampan, sejajar dengan agenda jangka panjang kerajaan di bawah AIR 2040.
“Teknologi trenchless sangat sesuai dengan AIR 2040, terutama dalam memulihkan saluran paip yang sudah lama dan menyepadukan penyelesaian air pintar tanpa kelewatan yang sering dikaitkan dengan kaedah konvensional,” katanya.
AIR 2040 merupakan satu pelan hala tuju strategik yang bertujuan mengubah sektor perkhidmatan air Malaysia.
Fadillah juga mengalu-alukan cadangan kolaborasi antara International Society for Trenchless Technology (ISTT) dan pemain tempatan bagi memupuk kesedaran mengenai penggunaan teknologi berkenaan di peringkat akademik.
Beliau berkata, dengan menyepadukan teknologi trenchless ke dalam kurikulum universiti dan program vokasional, Malaysia boleh melengkapkan graduannya dengan pengetahuan dan kemahiran diperlukan untuk menerima teknologi moden ini. – UTUSAN