KUALA LUMPUR: Malaysia perlu dilihat sebagai sebuah negara yang aman, berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar bagi memastikan kepentingan negara sebagai sebuah negara perdagangan kekal terpelihara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendekatan itu penting kerana Malaysia bergantung kepada ekonomi berasaskan perdagangan dan perlu dilihat sebagai sebuah negara yang aman, bebas dan boleh bekerjasama dengan semua pihak.
“Kita sedang memposisikan Malaysia sebagai sebuah negara kuasa pertengahan atau ‘middle state’ yang mampu berinteraksi dan bekerjasama dengan semua pihak.
“Kita tidak boleh dilihat cenderung kepada mana-mana negara kerana kita ialah negara dagang dan ekonomi kita sangat bergantung kepada hubungan perdagangan.
“Dalam konflik dua kuasa besar (AS dan China), kelebihan adalah kepada negara seperti Malaysia. Bila dua negara bergaduh, kita tidak memihak. Jadi, mereka akan datang kepada kita. Ini kedudukan yang strategik untuk negara kita,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Latih Amal Keselamatan Negara Kepengerusian ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Mohamad berkata, ketika menghadiri Mesyuarat Menteri Luar BRICS di Rio de Janeiro, Brazil minggu lalu, Malaysia menegaskan pendirian kekal berkecuali dan tidak berpihak kepada sesiapa.
“Kita juga menghantar wakil dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagi menilai pandangan dan kehendak negara-negara besar yang terlibat.
“Kita dengar dahulu apa yang mereka mahu, kemudian kita balik ke Malaysia untuk bincang dan siapkan cadangan balas. Kita tahu ‘wish list’ mereka. Kita tahu apa yang mereka mahukan daripada kita,” katanya.
Beliau berkata, contohnya AS menyuarakan kebimbangan terhadap lebihan perdagangan dengan Malaysia meskipun negara itu merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia selepas China dan Singapura.
“China mungkin rakan dagang terbesar, tetapi ia tidak memihak kepada kita. Tetapi AS, walaupun nombor tiga, perdagangan memihak kepada kita.
“Maka, mereka mahu lihat sejauh mana kita boleh kurangkan defisit itu. Kita akan kaji bagaimana boleh beli lebih daripada mereka dan mereka juga beli lebih daripada kita,” katanya.
Mohamad berkata, prinsip utama dalam perdagangan adalah memastikan Malaysia tidak mengalami kerugian.
“Kita berniaga bukan untuk rugi, kita nak untung. Walaupun kita umumkan defisit dalam belanjawan tahunan, kita tetap berusaha untuk kurangkan. Kita sasarkan defisit kepada sekitar tiga peratus tahun depan,” katanya.
Beliau berkata, lebihan dagangan atau ‘trade surplus’ yang dimiliki Malaysia kini merupakan aset penting kerana ia menjana aliran tunai dan menandakan kekuatan ekonomi negara.
“Kita mesti pastikan Malaysia dilihat dunia sebagai negara yang aman, bebas dan berkecuali. Ini membolehkan kita menjadi tuan rumah kepada pelbagai persidangan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN