PETALING JAYA: Malaysia dan Bahrain terus memperkukuh hubungan dagang dua hala dengan membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam pelbagai sektor utama.
Ia termasuk petroleum, produk berasaskan aluminium, makanan halal, komponen elektronik dan teknologi hijau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain hubungan dagangan sedia ada, Malaysia turut melihat potensi besar dalam sektor pelaburan strategik membabitkan tenaga boleh baharu, pembuatan petrokimia, penjagaan kesihatan serta pembangunan hartanah.
“Di sebalik cabaran dalam prestasi dagangan semasa, kami yakin pelbagai inisiatif seperti kerjasama dalam bidang kewangan Islam, pembangunan industri halal serta transformasi digital.
“Ia menerusi platform MyDigital dan dasar Cloud First Bahrain mampu menjadi pemangkin ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih berkualiti dan mampan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, Malaysia menyambut baik cadangan penubuhan hab perkhidmatan global dan taman perindustrian pintar, selain meneliti kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri bersama Bahrain dalam memperkukuh ekosistem ekonomi baharu.
“Saya telah menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala bukan hanya sebagai rakan dagang, tetapi sebagai rakan strategik dalam membina pertumbuhan ekonomi yang inovatif dan lestari,” katanya.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat delegasi kerajaan Bahrain yang diketuai Menteri Pembangunan Mampan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain, TYT Noor Ali Sultan Hasan Alkhulaif serta Duta Bahrain ke Malaysia, TYT Dr. Waleed Khalifa Yusuf Almanea di Putrajaya, tengah hari tadi.
Beliau berkata, Malaysia akan meneruskan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia–Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sebagai pendekatan strategik yang selari dengan wawasan dan kepentingan serantau.
“Pertemuan ini memperkukuh iltizam kedua-dua negara untuk membina masa depan yang saling memperkukuh dan saling memanfaatkan demi kesejahteraan rakyat.
“Malaysia akan terus menjadi rakan yang dipercayai, menjunjung prinsip ketelusan serta memastikan kemajuan yang inklusif dan saksama,” katanya.-UTUSAN