Maaf, saya tidak dimaklumkan mengenai kod pakaian - Bella Astilah

Maaf, saya tidak dimaklumkan mengenai kod pakaian – Bella Astilah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah ralat kerana tidak mengenakan kod pemakaian yang bersesuaian ketika menerima Anugerah Ikon Ibu Muda bersempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025, baru-baru ini.

Kurang selesa mengenakan kemeja dan seluar hitam, Bella turut memohon maaf dan memberitahu bahawa dirinya tidak menerima sebarang makluman mengenai kod pemakaian acara tersebut.

“Saya ingin memohon maaf dengan sepenuh hati sekiranya penampilan saya menimbulkan rasa kurang selesa. Saya dan pasukan saya tidak dimaklumkan mengenai kod pakaian.

“Sekiranya kami tahu, saya pasti akan berpakaian dengan lebih sesuai. Saya memang sangat mementingkan penampilan diri dan perkara ini turut mengecewakan saya. Maafkan saya,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram Story.

Mengulas mengenai penganugerahan yang diterima, pelakon drama Aku Tanpa Cintamu itu terharu kerana dipilih menjadi Ikon Ibu Muda 2025 meskipun mengakui ramai lagi wanita yang lebih layak untuk menerima anugerah tersebut.

“Alhamdulillah, saya benar-benar berbesar hati menerima Anugerah Ikon Ibu Muda 2025. Sejujurnya, saya rasa ramai lagi yang lebih layak, tetapi saya percaya ini adalah rezeki daripada-Nya.

“Syukur alhamdulillah, saya amat bersyukur. Apa pun, terima kasih atas segala sokongan dan kasih sayang yang diberikan.

“Saya masih dalam proses belajar, membesar dan meniti setiap langkah dengan penuh rasa rendah diri. Selamat Hari Ibu!,” jelasnya.

Terdahulu, Bella telah menerima Anugerah Ikon Ibu Muda sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN