KUALA KANGSAR: Sebuah lori tangki membawa muatan petrol sebanyak 45,000 liter terbabas sebelum terbalik di bahu jalan di Kilometer 259, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini semalam.
Kejadian yang berlaku sekitar pukul 8 malam itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dihantar ke lokasi nahas sebaik sahaja menerima maklumat kejadian.
Katanya, ketika anggota tiba di lokasi, mereka dimaklumkan terdapat kebocoran di bahagian penutup tangki dan berlaku lelehan minyak keluar dari penutup tersebut.
“Ketua operasi membuat penilaian risiko terlebih dahulu dan mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) dengan mengarahkan anggota melakukan pemantauan pada lelehan minyak yang bocor dari penutup tangki.
“Pemeriksaan mendapati kebocoran tersebut adalah terkawal dan tidak memasuki ke dalam longkang berhampiran,” katanya di sini hari ini.
Menurut Sabarodzi, lelehan kebocoran pada tangki minyak itu berjaya dikawal menggunakan sisa habuk kayu bagi tujuan penyerapan.
Katanya, lori tangki dan kren dari syarikat pengangkutan digunakan bagi memindahkan sebanyak 45,000 liter minyak dari lori tangki berkenaan selain untuk menstabilkan dan mengalihkan kenderaan tersebut.
“Setelah lori tangki dan kren tiba di lokasi kejadian, kerja-kerja pemindahan minyak dilakukan segera oleh pihak penyelenggaraan sebelum kenderaan yang terlibat distabilkan dan dialihkan.
“Operasi yang tamat pada pukul 6.18 pagi itu turut dihadiri pasukan polis, PLUS dan Jabatan Alam Sekitar,” katanya. – UTUSAN