NEW YORK: Penyanyi rap, Azalea Banks, menerima kecaman hebat susulan tindakannya yang mengkritik penampilan anggota Blackpink, Lisa, baru-baru ini.
Laman media sosial penyanyi berusia 33 tahun itu dihurungi peminat-peminat Lisa yang meluahkan kemarahan gara-gara komen dangkalnya mengenai cara berpakaian ikon K-Pop berkenaan.
”Anda tidak dialu-alukan ke Sweden!,” komen netizen.
“Saya maafkan anda kerana tidak menyukai K-Pop. Tapi anda silap kerana mencemuh Lisa dan menyuruh dia pulang ke Korea,” tulis seorang lagi netizen.
Serangan netizen bertubi-tubi menghujani Azalea selepas rapper kelahiran Amerika Syarikat (AS) itu mengutuk penampilan Lisa di acara fesyen terkemuka, Met Gala.
”Maafkan saya, tapi Lisa kelihatan seperti seorang Bapok. Dia adalah lelaki,” katanya.
Azalea, yang terkenal dengan mulut lancangnya, pernah beberapa kali mencipta kontroversi dengan komen-komen berani, antaranya menggelarkan Indonesia sebagai negara sampah. – UTUSAN