Lima ketua cabang di Melaka nyata sokongan kepada Nurul Izzah

Lima ketua cabang di Melaka nyata sokongan kepada Nurul Izzah

SIDEC
NURUL IZZAH ANWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lima ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Melaka secara terbuka menyatakan sokongan terhadap bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai calon timbalan presiden bagi sesi 2025–2028.

Sokongan itu disuarakan oleh Cabang Hang Tuah Jaya, Alor Gajah, Tangga Batu, Jasin dan Kota Melaka menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Mereka menyifatkan Nurul Izzah sebagai tokoh reformasi yang berprinsip dan berwibawa serta berupaya menjadi jambatan antara generasi lama dan baharu dalam PKR.

Ketua PKR Cabang Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pencalonan Nurul Izzah bukan semata-mata soal warisan atau populariti tetapi melibatkan masa depan parti.

“Nurul Izzah mempunyai keteguhan prinsip, keberanian bersuara dan komitmen tinggi dalam perjuangan reformasi sejak awal gerakan ini dimulakan.

“Kami ingin menegaskan bahawa PKR memerlukan kepimpinan progresif yang mampu menterjemah aspirasi rakyat dalam lanskap politik yang semakin mencabar,” katanya.

Sementara itu, Ketua PKR Cabang Tangga Batu, Azlan Osman berkata, pengalaman Nurul Izzah sebagai bekas Naib Presiden dan ahli Parlimen selama dua penggal memberi kekuatan besar kepada parti.

“Beliau mampu memperkukuh sinergi antara kepimpinan pusat dan akar umbi serta membawa obor perjuangan ke arah Malaysia yang lebih adil dan inklusif,” katanya.

Kenyataan bersama itu turut ditandatangani oleh Ketua PKR Cabang Alor Gajah, Mohd. Khuzaire Mohd. Kamal Kannan; Ketua PKR Cabang Jasin, R. Jagatheason dan Ketua PKR Cabang Kota Melaka, Md. Yusoff Ahmad.

Mereka berharap pencalonan Nurul Izzah akan menjadi titik tolak kepada kebangkitan baharu PKR dan mendapat sokongan menyeluruh daripada anggota parti di seluruh negara.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN