Lima hala tuju perkasa ekosistem pendidikan negara

Lima hala tuju perkasa ekosistem pendidikan negara

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak lima hala tuju utama dicadangkan bagi memperkasa semula ekosistem pendidikan negara sejajar dengan keperluan masa kini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bukan sahaja mampu mempertingkatkan mutu pendidikan negara dan membina ekosistem yang mampan malah dapat mencipta perubahan yang signifikan demi kebaikan generasi akan datang.

“Pertama, laksanakan perubahan secara inklusif dan saksama agar tiada pihak yang tercicir dalam arus pemerkasaan pendidikan.

“Kedua, rombak sistem tugasan guru dengan bantuan teknologi supaya mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada murid dan proses pengajaran,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kebajikan warga pendidik perlu diberi keutamaan termasuk guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru tahfiz serta guru pendidikan khas yang turut memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan.

Menurutnya, transformasi digital dalam sistem pendidikan negara juga perlu dipercepatkan agar guru dan pelajar celik teknologi, namun tetap beretika dalam penggunaannya.

“Sistem pengiktirafan terhadap guru juga perlu diberi perhatian serius dan tidak terhad kepada sambutan Hari Guru sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa guru dan murid bukan bahan uji kaji dalam sistem pendidikan negara yang sering mengalami perubahan.

Katanya, walaupun menteri silih berganti, sektor pendidikan tidak seharusnya dilihat dalam jangka masa pendek, sebaliknya perlu dirancang secara menyeluruh untuk tempoh 50 tahun akan datang.

“Matlamat sistem pendidikan negara adalah untuk melahirkan insan yang berkualiti. Justeru, pelaksanaannya perlu dilakukan secara teratur dan konsisten sehingga benar-benar mencapai tahap keberkesanan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN