MEKAH: Rutin berkumpul beramai-ramai adik-beradik bersama ipar duai setiap minggu atau dua minggu sekali di Kuala Terengganu, Terengganu nyata membawa berkat apabila kesemua mereka dijemput menjadi tetamu Allah ke Tanah Suci tahun ini.
Dalam temu bual bersama keluarga tersebut, mereka mengakui inisiatif abang sulung yang juga pesara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Hashim Awang, 69, yang gemar memasak untuk juadah berkumpul telah mengeratkan hubungan persaudaraan.
Selain Hashim dan isteri, Ruhani Kassim, 65; empat adiknya berserta pasangan masing-masing turut menjadi dhuyufurrahman (tetamu Allah).
Mereka ialah Hassan, 67, dan isteri, Azizah Awang, 65; Endon, 61, dan suami, Mohamad Sor Ismail, 67; Sidek, 54, dan isteri, Dalina Suria Hamid, 46, serta Ismail Awang, 51, dan isteri, Zuranail Abdullah, 51.
Hashim berkata, memang menjadi impian mereka 10 orang untuk ke Tanah Suci menunaikan Rukun Islam Kelima itu bersama-sama, sejak mendaftarkan diri pada 2009, selain pernah menunaikan umrah pada 2016.
“Saya cukup-cukup bersyukur kepada Allah kerana dijemput bersama ahli keluarga berkumpul di Tanah Suci. Kami sudah bersama-sama sejak dari kecil, kalau boleh (mahu) makan bersama, ibadah bersama dan alhamdulillah buat haji sama-sama.
“(Di Kuala Terengganu) setiap minggu kami berkumpul sekali, sekarang ini duduk tempat sekali, naik kapal terbang sekali. Saya diamanahkan oleh arwah bapa (Awang Jusoh) untuk menjaga adik-adik sebelum dia meninggal dunia,” katanya dalam sidang akhbar di sini, kelmarin.
Hashim berkata, ibunya meninggal dunia ketika dia berusia lima tahun sebelum bapanya bernikah semula.
“Selepas bapa meninggal saya lah ayah, saya kawan buat adik-adik. Saya pun boleh ditegur oleh adik-adik andai ada salah dan silap,” katanya.
Sementara itu, Endon berkata, dia gembira apabila dijemput menjadi dhuyufurrahman dan lebih manis bersama suami serta adik beradik.
Ismail pula berkata, Ruhani merupakan yang pertama menyemak tawaran haji melalui THiJARI dan berjaya, sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga lain.
“Bila lihat dalam THiJARI ada (tawaran). Selepas itu semua orang semak, masing-masing semak jadi yang dapat itu ‘merebak’.
“Lebih manis apabila semua tarikh sama, kapal terbang dan lain-lain pun sama,” katanya. – UTUSAN