KUALA LUMPUR: Kumpulan mahasiswa menggunakan platform perarakan Hari Pekerja hari ini untuk menggesa kerajaan memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan memperkenalkan bayaran minimum RM1,700 sebulan kepada pelatih industri.
Koordinator Liga Mahasiswa Malaysia, Alyaah Hani Anuar mendakwa, beberapa pimpinan kerajaan kini lupa kepada janji ketika mereka bergelar aktivis mahasiswa yang pernah menuntut pemansuhan PTPTN.
“Pemerintah hari ini yang dahulunya aktivis seperti kami pernah menuntut untuk memansuhkan PTPTN, namun mereka tidak pula bertindak sedemikian apabila berada di bangku kerajaan.
“Sekarang mereka memerintah, isu ini tidak berganjak malah ada pula cadangan untuk kembalikan larangan perjalanan kepada peminjam,” katanya ketika ditemui.
Liga Mahasiswa Malaysia antara kumpulan yang menyertai Himpunan Aman Sambutan Hari Pekerja 2025 – Suara Kita Hak Kita.
Semua yang terlibat mula berarak dari Pasar Seni sehingga ke Dataran Merdeka dengan pengawasan pihak polis yang menjaga ketenteraman awam.
Tambah Alyaah Hani, mereka turut menuntut akses pendidikan tinggi dipertingkatkan kerana hanya 14 hingga 19 peratus golongan buruh berjaya ke IPT kerana kebanyakannya terhalang kerana faktor kewangan.
“Ramai pelatih pula terus dijadikan buruh percuma. Bagaimana mahu hidup di Kuala Lumpur jika tidak dibayar?,” soalnya.
Selain itu, Ahli Kesatuan Sosialis Alternatif, Johan Zolhaidi berkata, jumlah gaji minimum yang diterima hari ini masih berada di bawah paras kemiskinan.
Katanya, jumlah bayaran yang wajar diterima adalah RM2,200 sebulan, sekali gus menyifatkan ia sebagai langkah menjamin kehidupan lebih bermaruah buat golongan pekerja di negara ini.
“Pekerja wajar mendapat kadar gaji yang adil dan setimpal dengan sumbangan mereka kepada ekonomi negara. Kami menyeru kerajaan menetapkan gaji minimum RM20 sejam sebagai garis asas kehidupan selesa bagi kelas pekerja,” katanya.