Lelaki tak mengaku liwat anak tiri 

Lelaki tak mengaku liwat anak tiri 

SEORANG juruteknik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meliwat anak tiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik penyaman udara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meliwat anak tiri berusia sembilan tahun, awal bulan lalu. 

Tertuduh yang berusia 40 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan. 

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa meliwat anak tirinya di balkoni di kediamannya di Cheras di sini pada pukul 2 pagi, 8 April lalu. Mangsa merupakan anak isteri kedua daripada perkahwinan wanita itu yang terdahulu.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. 

Bagi Seksyen 377C Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah dihukum dengan sebatan manakala kesalahan Seksyen 16(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan dihukum sekurang-kurangnya dua sebatan, jika disabit kesalahan. 

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Zaberi tidak mencadangkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh berkemungkinan akan mengganggu mangsa dan saksi kes. 

“Hubungan tertuduh dan mangsa adalah keluarga. Mereka tinggal di bawah bumbung yang sama dan sekiranya tertuduh dijamin, dia mampu untuk ganggu mangsa dan saksi yang lain. 

“Jaminan diberi kepada tertuduh untuk pastikan hadir ke mahkamah namun ini merupakan satu kesalahan yang serius melibatkan kanak-kanak,” katanya. 

Sementara itu, peguam bela, Charanpal Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan diberikan kerana tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga. 

“Tertuduh ada anak-anak yang masih bersekolah, salah seorang anaknya mengalami sakit jantung dan perlu mendapat rawatan susulan. Sepanjang seminggu tertuduh direman, anaknya tidak hadir ke sekolah kerana tertuduh adalah orang yang bertanggungjawab mengambil dan menghantar anak ke sekolah.

“Tertuduh juga ada dua buah rumah. Tertuduh tinggal bersama isteri pertama tinggal di Cheras manakala mangsa tinggal di rumah isteri kedua yang juga tempat kejadian, di Alam Damai,” ujar peguam itu. 

Mendengar kedua-dua cadangan dan rayuan, mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan.

“Mempertimbangkan semua hujahan dan melihat kepada prinsip undang-undang, mahkamah berfikiran bahawa jaminan tidak wajar diberikan kerana melibatkan tuduhan seksual anak tiri,” kata Zulqarnain yang kemudiannya menetapkan 17 Jun ini untuk serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN