KLANG: Seorang lelaki yang maut selepas motosikal dinaikinya terjunam ke dalam laut dekat dermaga Institut Latihan Pengangkutan Laut, Pulau Indah, di sini, semalam diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd. Zaini Abu Hassan berkata, siasatan pihaknya mendapati ketika kejadian mangsa dan rakannya sedang memancing di kawasan itu sebelum terjatuh akibat tergelincir ketika hujan lebat dan angin kencang.
“Seorang daripada mereka terselamat manakala mangsa ditemukan meninggal dunia pagi tadi.
“Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai SDR,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, semalam.
Justeru, Mohd. Zaini menasihatkan orang ramai termasuk pemancing supaya berwaspada ketika berada di lokasi seumpama itu terutama pada cuaca tidak menentu.
Terdahulu, Kosmo/ Utusan Malaysia melaporkan mangsa berusia 29 tahun itu ditemui kira-kira pukul 8.17 pagi tadi pada jarak 200 meter dari tempatnya terjatuh selepas dua hari pencarian bermula kelmarin.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.53 malam.
Seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Indah dan Pelabuhan Klang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.
Seorang lelaki berusia 30-an telah berjaya diselamatkan oleh orang awam dan usaha pencarian dilakukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) berjaya menemukan mangsa tidak jauh dari kawasannya tergelincir. – UTUSAN